BLOG INI TELAH DIMULAKAN PADA 13 SEPTEMBER 2012. NAMA SAJA KEDAI 25 JAM, TAPI BLOG INI TIDAK MENJUAL APA-APA PRODUK PUN. TERUSKAN MEMBACA KERANA BANYAK INFO-INFO YANG MENARIK DI SINI. TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA -tokai kedai

Wednesday, December 12, 2012

PERKAHWINAN IKUT SUNNAH




JIKA kita kembali kepada agama, perkahwinan itu adalah kerja mudah demi menjaga kesucian diri, maruah dan agama. Yang sukar adalah urusan tanggungjawab dan tahap kematangan dalam pengurusan rumahtangga. Namun itu semua boleh dipupuk asalkan memiliki ketekunan, kesabaran dan kesediaan untuk belajar.

Kenapa perlu tunggu lama-lama membiarkan maruah dan agama digadai, mengumpul dosa dalam rindu, duit pula habis untuk pacaran? Bukankah itu jauh lebih sukar berbanding membelanjakan sedikit harta untuk sebuah perkahwinan yang sah lagi benar? Maka, segerakanlah perkahwinan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda :

خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ


“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 6/13, no. 1808. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Jika belanja hantaran buat si gadis menjadi alasannya, bukankah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda :

إن من يمن المرأة تيسير خطبتها وتيسير صداقها وتيسير رحمها


“Di antara kebaikan wanita adalah mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (maskahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” (Hadis Riwayat Ahmad dan ath-Thabrani. Majma’ az-Zawa’id, 4/516, no. 7482)

Sekiranya maskahwin pun dituntut supaya dipermudahkan, mengapa mahu menambah-nambah dengan beban hantaran yang Nabi sendiri tidak pernah syari’atkan? Bukankah ini bertentangan dengan hadis Nabi tersebut bahawa pernikahan yang baik adalah yang paling mudah. Ini merangkumi mudah dari aspek perbelanjaan dan pengurusan.

Sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah menikahkan sahabat dengan mahar yang begitu mudah, iaitu antaranya dengan mahar cincin besi dan mengajar hafaz bacaan sebahagian ayat al-Qur’an. Kenapa kita pula bertindak meninggalkan sunnah Rasulullah dan memilih perkara yang menyusahkan lagi membebankan diri sendiri?

Perlu kita fahami bahawa pernikahan itu bukanlah 'umpama' pasar untuk menjualkan anak gadis melalui kutipan belanja hantaran daripada pihak lelaki. Sebaliknya ia adalah ikatan untuk menuju hidup bahagia berpasangan dengan cara yang sah dan halal. Bukankah wang dan belanja hantaran yang adakalanya mencecah puluhan ribu ringgit itu lebih baik diguna menampung keperluan hidup berumahtangga, seperti kos tempat tinggal, kenderaan, dan kehadiran anak-anak kelak?

Selari dengan pesanan Rasulullah bahawa sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah, majlis kendurinya pun turut dianjurkan dengan cara yang mudah. Selain itu, turut dianjurkan supaya kita menghulur bantuan perbelanjaan walimah kepada pasangan baru bernikah.

Ketika Rasulullah mengetahui sahabatnya ‘Abdurrahman B. ‘Auf baru sahaja bernikah, Rasulullah pun berkata kepadanya (sambil terlebih dahulu mendoakannya) :

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ


“Barakallahu laka (semoga Allah memberi berkah kepadamu), adakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, 16/131, no. 4758)

Berdasarkan hadis ini, mengadakan walimah (menjamu orang makan) dengan sebab pernikahan adalah disyari’atkan. Walaupun begitu, walimah tidaklah mesti dilakukan dengan seekor kambing. Tetapi perlulah bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah ketika pernikahannya bersama Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur keju dan tepung hasil sumbangan para sahabat yang hadir sebagaimana diriwayatkan Imam al-Bukhari. Terdapat juga hadis yang menunjukkan Rasulullah hanya menjemput beberapa orang lelaki meraikan walimah perkahwinannya di waktu yang lain.

Ia tidaklah seperti sebahagian daripada kita hari ini yang berlebih-lebihan dalam walimah sehingga sanggup meminjam wangan demi merealisasikan kenduri perkahwinan yang mahu dilihat mewah dan megah.

Menurut sunnah, majlis walimah yang dianjurkan Rasulullah itu tidak lebih dari sekadar jamuan makan dengan bergembira meraikan pasangan yang berkahwin. Ini berlangsung dengan cara menghadiri dan mendoakannya dengan kebaikan. Sehingga orang-orang yang berpuasa pun turut wajib menghadirkan diri ke majlis walimah jika mendapat jemputan.

Dalam masa sama, majlis walimah ini tidaklah sewajarnya diiringi dengan perkara maksiat dan kemungkaran. Sangat menyedihkan perkara-perkara maksiat dalam acara-acara walimah hari ini dilihat begitu subur. Sehingga ada yang sanggup berbelanja besar kerananya pula. Perkara ini wajib kita sedari dari awal agar tidak terus menular.

Di antara perkara buruk yang telah mula membudaya dalam majlis-majlis walimah hari ini adalah seperti budaya mendedahkan aurat dan tabarruj (berdandan) untuk tontonan umum dalam praktik persandingan, membazir untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat pujian, mencukur kening dan janggut, mengkhususkan adanya acara potong kek dan menyarung cincin perkahwinan, adat bersanding dan pelamin, upacara merenjis dan menepung tawar demi meraih keberkatan, bersalam-salaman dengan yang bukan mahram, acara tahlilan khas memohon restu nenek moyang, menjemput bomoh tolak hujan, majlis karaoke dan nyanyi-nyanyian, permainan kuda kepang, menggantung gambar pengantin, dan seumpamanya.

Hukum mendedahkan aurat adalah suatu yang maklum di kalangan umat Islam. Lebih lagi apabila berlaku pembaziran wang untuk belanja solekan, set baju yang menggambarkan bentuk tubuh wanita, dan mencukur kening demi kelihatan cantik. Ini semua termasuk bentuk-bentuk peragaan tubuh ala jahiliyah yang telah diharamkan Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firman-Nya(maksudnya),“Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah-laku seperti orang-orang Jahiliyyah." (Surah al-Ahzab, 33: 33)

Manakala acara khas sesi sarung cincin dan potong kek perkahwinan pula ia termasuk meniru-niru adat keagamaan kaum kafir yang tidak pernah sedikitpun dianjurkan dalam sunnah Rasulullah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ


“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum (dalam urusan khas agama), maka dia termasuk golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 11/48, no. 3512. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Manakala amalan meminta individu tertentu untuk menolak dan menahan hujan dengan jampi tertentu agar majlis dapat berjalan lancar, maka ini termasuk pula ke dalam perbuatan syirik. Ini sama juga dengan adat menepung tawar yang tidak diketahui asal-usulnya dari ajaran agama Islam. Sebenarnya untuk tujuan ini, cukuplah dengan berdoa kepada Allah dan bersedia dengan sebarang kemungkinan secara teknikal. 

Jika di dalam majlis-majlis walimah tertentu mengandungi praktik-praktik maksiat seperti ini, terdapat petunjuk Rasulullah supaya tidak menghadirinya atau sekiranya mampu maka berilah nasihat dan teguran.

Dari itu, mudahkanlah pernikahan dan majlisnya. Ambillah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai pedoman dan ikutan. Berbanggalah dengan kemuliaan Islam, bukan dengan maksiat, kemungkaran dan pembaziran. 

Hindarilah juga budaya pacaran tanpa nikah! Semoga semaian cinta dan majlis kita mendapat berkah dan keredhaan Allah. Itulah yang perlu kita cari dan kejar. Wallahu a’lam. [SUMBER]

Indahnya Perkahwinan Berlandaskan Sunnah



Sunnah Rasulullah s.a.w. bagi pasangan yang baru berkahwin. Suami meletakkan tangan di ubun kepala isteri, dan berdoa :

" Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikannya, dan kebaikan segala yang Engkau ciptakan pada dirinya. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya dan segala keburukan yang Engkau ciptakan pada dirinya" (Riwayat Abu Daud no.1260)



Sunnah selepas Ijab Qabul : Melakukan solat sunat 2 rakaat berjemaah suami dan isteri.

Cara untuk mengerjakannya ialah :

• Lafaz niatnya : “Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Ta’ala." 
(Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat kerana Allah Ta’ala) "Allahu Akbar” 

• Rakaat pertama : Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Kafiruun’

• Rakaat kedua : Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Ikhlas

• Membaca doa berikut selepas salam :

“Ya Allah, Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian bagi-Mu, seru sekalian alam. Ya Allah, aku bersykur kepada-Mu, telah selesai pernikahanku ini, kami memohon pada-Mu Ya Allah Engkau berkatilah pernikahan –ku ini. Engkau jadikanlah aku dan isteriku orang-orang yang soleh. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, pada-Mulah kami memohon pertolongan. Engkau anugerahkanlah padaku isteri/suami yang soleh, Engkau berikanlah akan daku dan isteriku petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaan-Mu dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus sepanjang hidup kami. Engkau berikanlah kami kekuatan untuk memimpin isteri dan anak-anak kami ke jalan yang Engkau redhai. Engkau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dengan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa. Engkau anugerahkanlah padaku dan isteriku anak-anak yang ramai dan soleh. Engkau anugerahkanlah kami kesihatan dan kesejahteraan pada isteri/suami dan anak cucu kami sepanjang hayat kami dan sepanjang hayat mereka. Engkau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosak kemesraan dan kebahagiaan rumahtangga kami”

“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Engkau anugerahkanlah kepada kami akan rezeki yang suci dan baik, lindungilah kami dari mendapat rezeki yang keji dan haram. Engkau jadikanlah aku, isteriku/suamiku dan anak-anak kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertaqwa. Engkau berikanlah petunjuk dan jalan sekiranya aku, isteri/suami dan anak-anak ku menyimpag ke jalan yang tidak Kau redhai. Engkau anugerahkanlah padaku, isteri/suami dan keturunan kami kekuatan dan keimanan untuk berbuat baik dan amal soleh sepanjang hayat kami. Engkau peliharalah kami, isteri/suami, anak-anak dan cucu-cucu kami dari sebarang mara bahaya, fitnah dan malapetaka yang tidak diingini samaada yg lahir mahupun yg batin”

“Ya Allah,Engkau berkatilah umur kami, isteri/suami kami, anak-anak kami, cucu-cucu kami sehinggalah akhir hayat kami dan mereka. Engkau peliharalah kami, isteri/suami kami, anak-anak kami, cucu-cucu kami agar menjadi orang yang taat kepada-Mu Ya Allah, kepada kedua ibubapanya dan taat mengerjakan perintah-Mu dan taat dalam menjauhi larangan-Mu” 

“Bahagiakanlah rumah tangga kami Ya Allah,(3 kali)"

"Engkau berkatilah rumahtangga kami Ya Allah (3 kali)”

Amin ya rabbal alaminn...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...